LANG - Sebuah syarikat pemprosesan dan pemasaran sarang burung walit di bandar ini beroperasi bagai ‘neraka’.
Operasi khas yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari
Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
(MAPO) dengan kerjasama Atipsom Bukit Aman, Bahagian Kongsi Gelap,
Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)
Selangor, Jabatan Imigresen Putrajaya dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
telah membongkar aktiviti terbabit.
Dalam serbuan bermula kira-kira jam 11 pagi itu, seramai 172 pekerja
rata-ratanya warga Indonesia berusia 18 hingga 40 tahun sedang bekerja
di premis berkenaan termasuk berada di asrama berdekatan.
Seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Tyas berkata, dia
dimaklumkan tentang kerja kosong di premis terbabit melalui kenalannya
di Indonesia.
“Dia beritahu saya akan dapat gaji RM900 gaji pokok. Kalau saya bekerja
lebih masa dua jam sehari, saya akan diberikan tambahan gaji sebanyak
RM338.
“Selepas sampai sini, ia bertukar sebaliknya dan kerja-kerja yang saya
lakukan terpaksa dibuat dengan tempoh masa yang lebih panjang dari
kebiasaan,” katanya.
Ketua Pasukan Khas MAPO, Deputi Superintendan Hadzwan Zulkifli berkata,
serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan pihaknya selama tiga
minggu mengenai kegiatan menyalahi peraturan ditetapkan berkaitan
kebajikan pekerja di premis lima tingkat yang telah beroperasi sejak
tahun 2014 itu.
"Berdasarkan siasatan awal, kesalahan itu antaranya disyaki memaksa
pekerjanya bekerja lebih masa sehingga 16 jam sehari dan membuat
potongan upah atau gaji tanpa kebenaran sekiranya melakukan kesalahan
seperti sarang burung rosak dan menggunakan penghawa dingin di asrama
mereka.
"Pekerja yang ditemui itu membabitkan 152 wanita Indonesia, tiga wanita
Myanmar dan 17 warga tempatan," katanya ketika ditemui di lokasi
serbuan, hari ini.
Menurut Hadzwan, pemilik premis bergelar Datuk berusia 29 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Atipsom 2007, Seksyen 39B Akta Imigresen 1957 dan Akta Pekerja.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri
Mustafar Ali yang ditemui berkata, kita telah kenal pasti pemilik premis
serta mangsa terbabit berusia 18 hingga 40-an dan siasatan sedang
dijalankan untuk tindakan selanjutnya.
“Kita lihat ada unsur-unsur eksploitasi dalam siasatan ini termasuklah
gaji tidak dibayar dan lain-lain. Ini adalah satu tindakan bertentangan
dengan undang-undang.
“Selain itu, premis ini akan disemak dan disiasat untuk mengenal pasti
statusnya dalam menjalankan perusahaan terbabit, ” katanya.

No comments:
Post a Comment